Thursday, September 22, 2016

PERTANIAN SEBAGAI PERNIAGAAN





1.0          PENGENALAN
Aktiviti pertanian ialah merupakan pengeluaran makanan dan barangan melalui kegiatanperladangan, penternakan, dan perhutanan. Ia merupakan perkembangan utama yang membawa kepada kebangkitan tamadun pada masa kini, dengan adanya aktivit penanaman dan penternakan mewujudkan lebihan makanan dan seterusnya membolehkan pembangunan masyarakat yang lebih padat dan samarata.
            Selain itu, pertanian merupakan aktiviti ekonomi dunia yang paling penting. Ia  menggunakan satu pertiga daripada permukaan bumi dan 45% daripada jumlah penduduk  dunia yang  bekerja terlibat dengan aktiviti pertanian. Geografi pertanian merupakan satu  bidang yang mengkaji dan menghuraikan perbezaan kawasan-kawasan yang diliputi oleh  tanaman di permukaan bumi dan boleh dikatakan sebagai "the science of the agriculturally transformed earth surface, with all its  associated natural, economic, and social interrelationships as reflected spatially". 
            Pertanian tidak lagi boleh diasingkan dari kehidupan manusia di muka bumi apabila manusia yang semakin ramai dan mempunyai pelbagai citarasa. Diperingkat awal, masyarakat manusia yang bergantung kepada  aktiviti memburu dan mengumpul makanan tidak membiak dengan ramai kerana tidak berkemampuan  untuk menyediakan sumber makanan yang mencukupi. Berbanding dengan masyarakat moden yang  jumlahnya hampir mencapai angka 6 bilion orang, aktiviti pertanian yang cekap dan produktif menjadi  aktiviti penting bagi menghasilkan sumber makanan dan gentian yang banyak. Aktiviti menternak haiwan merupakan titik permulaan bagi pertanian moden yang diamalkan sekarang.
            Pertanian adalah tunggak asas kepada kehidupan manusia baik dari segi sumber makanan, kewangan dan ekonomi. Slogan ‘pertanian adalah perniagaan usahawan’ sememangnya ada kebenaran. Situasi yang membolehkan aktiviti pertanian itu menjadi satu perniagaan boleh terjadi apabila pengeluaran hasil pertanian pekebun atau peniaga ini tadi bukan sahaja telah melebihi keperluan sara hidup diri, malahan telah dapat memberi keuntungan kepada pengusahanya tadi.
            ‘Pertanian adalah perniagaan’ juga merupakan visi yang sangat popular. Ia bertujuan untuk mentransformasikan Malaysia daripada sebuah negara perindustrian kepada sebuah negara pertanian. Dengan melakukan aktiviti-aktiviti berasaskan pertanian, seseorang itu mampu menjana pendapatan yang lebih besar dan bukan sekadar untuk keperluan diri sahaja malah untuk keperluan negara sendiri. Persepsi rakyat terhadap sektor pertanian juga perlu diubah. Rakyat perlu lebih berani mengambil risiko dan mula berbakti kepada tanah. Pertanian perlu diceburi oleh segenap lapisan umur dan bukan hanya petani-petani yang sudah lanjut usianya pada zaman sekarang.







2.0       KEPENTINGAN BIDANG PERTANIAN

Dewasa ini, kepentingan sektor pertanian terhadap pembangunan sesebuah negara tidak dapat dinafikan lagi. Hal ini kerana industri ini mendatangkan pelbagai manfaat. Di Malaysia, industri pertanian ini mula dibangunkan secara lebih proaktif pada era pemerintahan Tun Abdullah Ahmad Badawi menerusi Rancangan Malaysia (ke-5). Pada ketika ini sahaja, Malaysia telah dapat membangun dengan pesat seiring dengan kemajuan dalam industri pertanian. Kebanyakan negara-negara maju dunia telah menyedari akan kepentingan industri pertanian. Sebagai contoh, negara China kini gah sebagai antara pengeluar utama produk pertanian di dunia. Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, undustri pertanian ini mampu mengubah taraf sesebuah negara. Jelaslah bahawa industri pertanian ini mendatangkan ribuan manfaat kepada mereka yang gigih memajukannya.
            Antara kepentingan bidang pertanian adalah dapat meningkatkan pendapatan negara. Pada tahun 2011 sahaja, Malaysia telah mengeksport produk pertanian bernilai (RM 71024 billion) dan (RM 108.102 billion) pada tahun 2011. Pulangan yang diperolehi negara melalui industri pertanian meningkat saban tahun. Hal ini kerana kebanyakan Negara-negara yang lain hanya mementingkan kemajuan dalam aspek infrastruktur tanpa menyedari bahawa negara mereka telah kekurangan tanah untuk bercucuk tanam. Suatu ketika dahulu, Malaysia pernah bergelar pengeksport utama getah di rantau Asia. Usaha memajukan sektor pertanian ini perlulah dijalankan secara istiqamah dan janganlah hanya seperti melepaskan batuk di tangga.
            Salah satu produk pertanian yang popular di Malaysia adalah teh. Kerancakan penanaman teh di kawasan-kawasan tanah tinggi seperti di Cameron Highland telah mengangkat nama Malaysia sebagai salah satu negara pengeluar teh berkualiti tinggi di asia. Tegasnya, industri pertanian ini sememangnya mampu meningkatkan pendapatan sesebuah negara.
            Seterusnya, bidang pertanian ini juga penting untuk menambah atau memberi peluang pekerjaan kepada rakyat negara ini yang belum memiliki bidang pekerjaan. Bidang pertanian ini sebenarnya mampu menyelesaikan masalah pengangguran yang menghantui rakyat Malaysia ketika ini. Menteri Pertanian & Industri Asas Tani  Yb. Dato' Sri Ahmad Shabery Cheek berkata, kementriannya telah menjalankan projek permulaan (EPP) yang memberi penekanan kepada tiga sebab utama iaitu rumpai laut, ikan hiasan dan burung walit. Projek tersebut mampu menyediakan sebanyak 75000 peluang pekerjaan. Pada masa yang sama, rakyat Malaysia telah berjaya dalam indusri ini dengan bantuan daripada kerajaan sendiri. Tuntasnya, perniagaan berasaskan pertanian ini mampu mengatasi masalah pengangguran negara dengan menawarkan ribuan pelung pekerjaan di seluruh negeri.
            Selain itu, perniagaan berasaskan pertanian juga penting kerana mampu mengembangkan industri-industri desa. Hal ini jelas terbukti melalui penubuhan industri kecil sederhana (IKS) yang membentuk penduduk di luar Bandar untuk meningkatkan pendapatan mereka. Baru-baru ini juga, kerajaan telah melancarkan program ‘Satu Daerah Satu Industri’ yang memberi fokus kepada sektor pertanian. Pada ketika ini sahaja, lebih daripada enam ribu rakyat Malaysia menceburi bidang pertanian dengan bantuan Kementriaan Pertanian. Pelbagai usaha telah dijalankan oleh pihak kerajaan untuk membantu golongan luar bandar meningkatkan pendapatan mereka melalui sektor pertanian. Sememangnya, berbudi kepada bumi pasti tidak akan menyesal. Jelaslah bahawa industri pertanian ini dapat mengembangkan industri desa dan menaikkan taraf hidup rakyat luar bandar.
            Sistem perhubungan juga mampu dimajukan dengan perniagaan berasaskan pertanian. Sebagai contoh, semasa era penjajahan British, jalan raya telah dibina untuk memudahkan mengangkut hasil pertanian ke pelabuhan. Negara-negara maju di dunia juga terkenal dengan kemajuan sistem perhubungan mereka menerusi kegiatan pertanian. Oleh itu,kepentingan bidang pertanian memberi impak kepada sistem perhubungan sesuatu tempat. Jika di Negeri Sabah dan Serawak, bentuk muka bumi yang berbukit bukau menjadi rintangan untuk memajukan sektor pertanian mereka. Oleh sebab negeri-negeri tersebut kaya dengan hasil hutan, pesawat ringan telah digunakan untuk mengangkut hasil pertanian. Maka jelaslah bahawa industri pertanian ini mampu memajukan sistem perhubungan di sesebuah kawasan. Selain pesawat ringan,malah jalan kereta api telah di wujudkan untuk memudahkan mengangkut hasil-hasil pertanian dari pedalaman seperti di Sabah iaitu dari Tenom ke Tanjung Aru.
            Oleh yang demikian, kepesatan industri pertanian di sesebuah negara akan membawa keuntungan yang besar kepada negara itu sendiri. Tidak dapat dinafikan juga bahawa berkecimpung dalam sektor perniagaan berasaskan pertanian ini memerlukan penjagaan yang rapi. Hal ini bertepatan dengan peribahasa, berakit-rakit ke hulu, bersenang-senang kemudian. Ingatlah bahawa tiada apa-apa dapat dicapai tanpa pengorbanan. Usaha kerajaan memajukan sektor pertanian adalah selaras dengan wawasan 2020 iaitu menjadikan Malaysia sebagai negara maju menjelang tahun 2020. (Muhamad Syafiq Azlan Bin Mustafa, 2013)


3.0       POTENSI BIDANG PERTANIAN

Semenjak tahun 1984, tiga Dasar Pertanian Negara telah digubal untuk memajukan sektor pertanian iaitu Dasar Pertanian Negara Pertama (1984-1991) yang memberi penekanan untuk membangunkan sektor pertanian yang berorientasikan ekspot; Dasar Pertanian Negara Kedua (1992-1997) yang memberi penekanan kepada peningkatan produktiviti, kecekapan dan persaingan; dan Dasar Pertanian Negara Ketiga (1998-2010) untuk meningkatkan dayasaing sektor pertanian berikutan liberalisasi perdagangan antarabangsa.
            Lantaran itu, potensi bidang pertanian dan industri asas tani sebagai perniagaan menguntungkan, maka kerajaan telah merancang untuk menjadikan sektor ini sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi. Oleh itu, dengan memperluaskan tanggungjawab Kementerian Pertanian untuk merangkumi bidang industri asas tani. Tujuannya ialah supaya sektor pertanian dan industri asas tani berpontensi dimajukan berdasarkan semua aspek pengurusan rantaian bekalan atau supply chain management, iaitu dari peringkat pengeluaran benih, pengeluaran (production), pengendalian lepas tuai, penyimpanan, logistik, penggredan, pelabelan, pembungkusan, pengangkutan, peruncitan, pemborongan, pemasaran, penjenamaan (branding), pemerosesan sehingga dijual kepada pengguna (from farm to table). Selain daripada pengeluaran pertanian, fokus masa hadapan telah diberi kepada industri asas tani yang boleh disertai oleh industri kecil dan sederhana terutamanya dalam bidang-bidang tambah nilai (value added) yang baru.
            Bidang pertanian juga berpontensi mengeluarkan produk yang bermutu tinggi untuk pasaran tempatan juga meneroka pasaran antarabangsa, maka dengan itu  tindakan perlu diambil untuk memenuhi permintaan pasaran terhadap makanan yang selamat dan berkualiti. Ini termasuk tindakan untuk menepati piawaian-piawaian antarabangsa serta pelabelan, penggredan dan pembungkusan yang boleh diterima di pasaran antarabangsa. Beberapa program jaminan kualiti hasil pengeluaran ladang dan pemprosesan yang sedang dilaksanakan seperti Skim Akreditasi Ladang Malaysia (SALM) oleh Jabatan Pertanian, Skim Akreditasi Ladang Ternakan (SALT) dan Veterinary Health Mark (VHM) oleh Jabatan Perkhidmatan Haiwan dan Skim Persijilan Ladang Akuakultur Malaysia (SPLAM) oleh Jabatan Perikanan, perlu dikuatkuasakan tanpa sebarang kompromi. Dua lagi program jaminan kualiti hasil makanan yang sedang digubal ialah Skim Organik Malaysia (SOM) oleh Jabatan Pertanian dan Quality Assurance System (QAS) oleh MARDI perlu direalitikan dengan segera. Jika tindakan seperti ini dilaksanakan dengan baik maka potensi bidang pertanian sebagai pengeluar produk bermutu tinggi mendapat pasaran yang meluas di peringkat antarabangsa.
            Selain itu, potensi pertanian negara kita mendapat jaminan pasaran tempatan dan luar negara, juga memperolehi harga yang lebih tinggi dan seterusnya memperolehi pendapatan yang menguntungkan jika pengeluaran hasil pertanian yang ada sekarang menepati aspek-aspek kualiti dan keselamatan yang terjamin. Sekiranya semua pangusaha pertanian mengamalkan pendekatan ini, tidak mustahil daya saing pengeluaran pertanian negara akan berjaya dipertingkat dan dipertahankan. Di samping itu semua jabatan dan agensi yang terlibat perlu menyegerakan tindakan melaksanakan program jaminan kualiti den memastikan bahawa pengusaha memahami langkah-langkah yang perlu dipatuhi secara berterusan bagi meningkatkan potensi kepada lebih baik lagi.
            Kita semua sedia maklum bahawa perbelanjaan yang dilabur oleh Kerajaan untuk memajukan sektor pertanian adalah besar tetapi pendapatan yang diterima oleh golongan sasar masih rendah. Jadi, sudah sampai masanya pendekatan baru dilaksanakan untuk mengatasi masalah tersebut. Fokus utama boleh diberi kepada industri padi dan beras serta Dasar Pengeluaran Makanan Strategik, ternakan dan perikanan laut dalam. Cara-cara baru juga perlu dikenal pasti untuk memastikan bahawa pertubuhan-pertubuhan petani dan nelayan sebenarnya meningkat pendapatan ahli mereka secara berterusan dan tidak mengayakan pertubuhan-pertubuhan terlibat sahaja.
            Tindakan ini perlu diambil supaya golongan yang disasar akan memperolehi pendapatan yang bertambah untuk mengatasi masalah kemiskinan dan sekali gus menaikkan taraf hidup mereka. Antara potensi-potensi bidang pertanian yang perlu diberi perhatian dalam menggubal pendekatan baru ini termasuk memperkukuhkan organisasi yang menyelaras aktiviti, menyediakan skim pembiayaan yang bersesuaian termasuk penglibatan Kerajaan Negeri.
            Potensi bidang pertanian dapat ditingkatkan dengan penggunaan teknologi terkini menerusi beberapa projek demonstrasi seperti Projek Sepuluh Tan Padi, Program Fertigasi Tanaman, Program Inkubator Industri Kecil dan Sederhana, Sistem Rumah Tertutup Ayam dan Amalan Pertanian/Ternakan/Akuakultur Yang Baik. Di samping itu, MARDI perlu berusaha untuk meningkatkan kadar pemindahan teknologi dan inovasi kepada usahawan kecil dan sederhana dan syarikat swasta yang terlibat dalam industri asas tani. Usaha bagi meningkatkan potensi bidang pertanian ini boleh dilaksanakan menerusi program seminar menggalakkan penggunaan teknologi MARDI, mengadakan pameran bergerak yang memberl fokus kepada teknologi baru, menubuhkan pusat maklumat teknologi di sebelas stesen utama dan merancang untuk mengadakan ladang contoh di beberapa stesen MARDI untuk dijalankan oleh industri kecil dan sederhana dan syarikat swasta. (Mahani Abu Bakar, 2009)
            Potensi bidang pertanian sebagai perniagaan bergantung kepada bidang pertumbuhan baru atau new growth areas yang mempunyai potensi untuk dimajukan. Beberapa bidang baru yang berpotensi perlu diterokai ialah pembangunan pusat makanan halal, ekuin dan haiwan eksotik, minimally processed food dan produk-produk bioteknologi seperti kultur sel, pharmaceutical, nutraceutical, produk-produk herba dan makanan ternakan atau bahan tambahan makanan ternakan. Inisiatif-inisiatif baru perlu diambil olah jabatan dan agensi di bawah kementerian untuk bekerjasama dengan pihak swasta bagi menerokai bidang-bidang ini.
            Produk-produk yang telah dikenal pasti boleh meningkatkan potensi bidang pertanian dengan menyumbang kepada pencapaian lebihan imbangan dagangan ialah seperti ikan dan produk ikan, daging dan produk, buah-buahan, binatang hidup, telur, kopi, teh dan rempah. Usaha penjenamaan Malaysia’s Best oleh FAMA harus diperbanyakkan lagi agar dapat memperluaskan lagi pemasaran pengeluaran pertanian di dalam dan luar negara.
            Selain itu, bagi meningkatkan potensi pengeluaran dan kecekapan pengeluaran hasil bidang pertanian, kementerian perlu merealisasikan pembangunan kawasan-kawasan pengeluaran berteraskan Cluster seperti Zon Pengeluaran Buah-buahan, Target Area Concentration, Zon Industri Akuakultur dan beberapa pendekatan seperti Projek Pertanian Moden dan Taman Kekal Pengeluaran Makanan. Kesemua ini bertujuan untuk meningkatkan potensi bidang pertanian,iaitu membangunkan komoditi dan produk yang berteraskan Industrial Districts di mana pemasaran, pengeluaran, innovasi dapat dirancang dan diperlengkapkan dengan infrastruktur sokongannya.
            Di samping itu sumber pembiayaan pinjaman perlu juga diberi perhatian supaya pihak swasta dapat menjayakan projek-projek pertanian dan industri asas tani. Selain itu, selaras dengan keutamaan kerajaan mempertingkatkan potensi terhadap sektor pertanian dan industri asas tani, institut-institut pengaiian tinggi di negara perlu mengkaji semula pengajian dan kurikulum yang disediakan pada masa ini supaya dapat melahirkan graduan yang sesuai selaras dengan kehendak bidang pertanian. Dalam hubungan ini, dicadangkan supaya pihak universiti-universiti meneliti semula pengajian dalam bidang pertanian yang disediakan supaya selari dengan permintaan pihak swasta dan organisasi awam.
            Usaha juga perlu dipertingkatkan untuk menarik minat golongan muda untuk menceburi bidang pertanian sebagaimana mereka berminat menyertai sektor pembuatan dan perkhidmatan. Ini termasuk mendedahkan golongan muda kepada peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan sebagai kerjaya yang berpontesi untuk memberi keuntungan kepada mereka. Program Tunas Mekar perlu diteliti untuk dilaksanakan dalam sektor pertanian secara besar-besaran. Oleh yang demikian,dengan cara ini dapat juga meningkatkan potensi bidang pertanian sebagai  perniagaan yang menguntungkan kepada mereka.
            Peranan Kerajaan Negeri untuk bersama dengan kementerian membawa arus perubahan yang baru kepada sektor pertanian adalah sangat penting bagi meningkatkan potensi bidang pertanian. Pembangunan pertanian memerlukan tanah sama ada di darat atau laut dan perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri. Misalnya, Jabatan Perikanan telah merancang untuk membangunkan Zon Industri Akuakultur dan kawasan-kawasan yang dikenal pasti adalah terletak di negeri-negeri. Kejayaan projek ini sangat bergantung kepada kelulusan Kerajaan Negeri dan syarat-syarat lain yang dikenakan kepada pengusaha-pengusaha yang akan memaju projek.
            Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bersama jabatan dan agensi di bawahnya perlu merancang dan melaksanakan program juga projek untuk meningkatkan potensi bidang pertanian selaku pengeluaran makanan dan memajukan kumpulan sasaran iaitu para petani. Dalam hubungan ini, kumpulan sasaran para petani terdapat di peringkat daerah, kampung dan mukim. Oleh yang demikian, nisbah pegawai dan bilangan petani harus dilihat semula supaya bilangan pegawai yang ditempatkan di peringkat negeri dan daerah adalah pada tahap yang bersesuaian dengan bilangan petani. Ketua-ketua jabatan dan agensi perlu melihat semula cara-cara pengagihan (decentralization) tenaga kerja di peringkat bawah supaya hasil pertanian dapat dikekalkan dalam potensi yang baik sebagai perniagaan menguntungkan.
            Potensi industri pertanian negara adalah berat memandangkan kepada persaingan di peringkat global. Walau bagaimanapun, potensi-potensi bidang pertanian ini menyediakan peluang-peluang baru yang boleh diambil kesempatan oleh pihak swasta dan golongan sasaran. Bidang pertanian boleh dimajukan untuk menjana keuntungan dengan syarat dilaksanakan secara bersungguh-sungguh dan sepenuh masa dengan menumpukan perhatian kepada kehendak pelanggan. Kerajaan perlu menjadi pemudahcara penglibatan semua pihak di dalam sektor ini dan segala tindakan perlu diambil untuk maksud tersebut. Semangat kerjasama teamwork antara semua yang terlibat dapat memastikan potensi bidang pertanian sebagi perniagaan menguntungkan kepada individu mahupun negara sendiri. (Bastian Michael, 2014)

4.0       CABARAN / HALANGAN BIDANG PERTANIAN


Halangan atau cabaran bidang perniagaan berasaskan pertanian semakin mendapat perhatian daripada pelbagai pihak dewasa ini. Pertanian kini tidak mendapat sumber sekunder kepada pembangunan ekonomi negara lagi. Sektor ini giat dibangunkan, selaras dengan pembangunan negara. Malangnya,terdapat halangan yang menyekat pembangunan perniagaan berasaskan pertanian di negara kita. Kekurangan benih merupakan antara halangan yang melanda bidang pertanian. Kebanyakan anak benih kini diimport dari luar mahupun dalam negara. Hal ini sudah pasti akan menyebabkan kos pengeluaran akan meningkat.
            Halangan yang lain dalam perniagaan berasaskan pertanian ialah usia petani yang sudah lanjut saban hari.Tenaga buruh dalam sektor pertanian rata-ratanya melebihi usia 55 tahun mengikut statistik yang diambil oleh jawatankuasa Kementerian Pertanian & Industri Asas Tani. Keadaan ini berpunca daripada penghijrahan golongan belia yang ramai ke bandar-bandar besar atau di ibu kota untuk mencari peluang pekerjaan. Masalah ini juga berpunca daripada kurangnya minat sesetengah pihak terhadap sektor pertanian.Golongan belia berpendapat, bahawa pekerjaan dalam sektor pertanian hanya layak dilakukan oleh golongan yang sudah berusia ataupun sudah pencen.Bagi mereka,pertanian hanyalah satu bidang yang dijalankan untuk mengisi masa lapang.Mereka lebih senang menghabiskan masa dengan bekerja dalam sektor perkilangan, mahupun automotif dan sebagainya. (Noor Zalika Bt Mahmad Zuki, 2013)     
            Serangan pelbagai penyakit juga menjadi masalah kronik atau halangan dalam bidang pertanian.Sesetengah petani menghabiskan masa yang banyak untuk memerangi serangan penyakit. Selain itu,kadar peningkatan kos pengeluaran sedikit sebanyak memberikan impak kepada bidang pertanian. Hal ini termasuklah kos pengangkutan,upah buruh,dan harga baja kimia.Kenaikan kos ini memberikan kesan kepada para petani.Selain itu,harga yang tidak stabil dalam pasaran juga merupakan masalah yang dihadapi oleh para petani.Jika dikaji secara mndalam, antara faktor ketidakstabilan harga berlaku ialah inflasi, lambakan barangan dalam pasaran,dan kemasukan barang eksport dalam kuantit yang banyak sehingga tidak terkawal.
(Wan Nur Nazirah, 2012)    
             Saiz permukaan tanah yang terlalu kecil turut menjadi halangan dan menjejaskan perkembangan bidang pertanian. Hal ini demikian kerana tahap pengeluaran berkurangan.Faktor iklim juga menjadi halangan kepada perkembangan bidang pertanian.Tanaman yang tidak sesuai dengan iklim negara ini tidak dapat hidup dengan subur. Sebagaiman yang kita ketahui,negara kita menerima iklim hujan dan panas sepanjang tahun. Jika,mengalami musim panas seperti kemarau yang mengambil masa dua hingga tiga bulan sudah cukup untuk memberi kesan yang negatif hasil perniagaan berasaskan pertanian negara kita. Sesungguhnya,pelbagai langkah yang efektif harus diambil untuk mengatasi masalah yang dihadapi agar sektor pertanian dapat berkembang dengan pesat di negara ini. (Nik Yahya Ab. Rahman, 2009)


5.0       STRATEGI PERNIAGAAN PERTANIAN MENGHADAPI CABARAN
Menyedari pelbagai cabaran yang bakal ditempuhi, perniagaan pertanian perlu bersiap sedia untuk menyusun strategi yang lebih signifikan. Antara strategi yang sepatutnya dilakukan oleh usahawan adalah:
            5.1       Strategi Sejagat
                        Perniagaan pertanian perlu memahami perubahan pasaran dunia dengan          berfikiran secara sejagat. Mereka seharusnya dapat mengenal pasti peluang-            peluang perniagaan secara unik dan bertindak cepat untuk mengeksploitasikan   peluang-peluang itu. Mereka perlu menguasai persekitaran perniagaan secara   strategik dengan memastikan mendahului strategi yang diambil oleh pesaing          mereka.
            5.2       Kemahiran Dalam Penggunaan Teknologi Maklumat
                        Perniagaan pertanian hendaklah sentiasa peka dengan perkembangan   teknologi yang pesat berlaku sama ada dalam bidang pengeluaran,   pembangunan produk. Pembungkusan, pemasaran dan penumpuan kepada      kualiti. Mereka harus mementingkan fungsi teknologi maklumat untuk bersaing         dalam perniagaan berasaskan pertanian.
            5.3       Mengutamakan Jaringan
                        Mereka hendaklah juga perlu tahu bagaimana hendak mengurangkan     lapisan prosedur dan segala bentuk birokrasi. Perniagaan pertanian perlu mempunyai kemahiran untuk membina jambatan atau jaringan dengan tokoh-tokoh utama dan kalangan pelbagai iatar belakang dalam perniagaan   berasaskan pertanian ini untuk mewujudkan kerjasama dan memastikan mereka sentiasa berada dalam situasi menang-menang atau win-win situation”. Mereka perlu ingat bahawa dalam dunia perniagaan berasaskan pertanian ini     bukannya apa yang diketahui oleh usahawan pertanian yang akan      menentukan kejayaan mereka tetapi siapa yang mereka Kenal mempunyai   pengaruh yang lebih signifikan terhadap perniagaan mereka.
            5.4       Berperanan Sebagai Pemimpin Dan Pendorong
                        Perniagaan pertanian pada masa depan juga perlu mengetahui      kedinamikan kumpulan dan sensitif terhadap keperluan mereka. Mereka harus     berkebolehan untuk membimbing, mendorong, menasihati dan tahu bila (when), apa (what) dan bagaimana (how) untuk memberi arahan kepada pasukan kerja dan individu agar mereka mampu memberi sumbangan yang terbaik. Pada masa yang sama, mereka juga perlu mengetahui kepentingan teknik pengurusan secara penglibatan bersama selain membangunkan pasukan pengurusan kendiri.
            5.5       Kepakaran Berkomunikasi
                        Perniagaan pertanian Juga berperanan sebagai penghubung yang           berkesan. Kepakaran ini penting kerana mereka akan berhadapan dengan pekerja yang mempunyai kepelbagaian latar belakang. Pada masa yang sama, mereka juga perlu berhadapan dengan pembekal, pelanggan, komuniti dan pemimpin kerajaan yang mana setiap di antara mereka mempunyai agenda dan    pengharapan yang tersendiri terhadap usahawan. (Syed Mahadzir Syed Ibrahim,  2011)



6.0       SOKONGAN DAN BANTUAN KERAJAAN KEPADA PERTANIAN

Tumpuan kerajaan kepada sektor pertanian bukanlah bersifat satu langkah ke belakang. Usaha ini dilihat sebagai salah satu usaha kerajaan untuk meningkatkan taraf hidup rakyat Malaysia dan seterusnya membantu menambah hasil pendapatan negara. Dalam memajukan sektor pertanian, kerajaan telah melakukan banyak perubahan daripada aspek proses dan keperluan jentera. Dengan bantuan agensi kerajaan seperti Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia atau MARDI, kita telah berjaya menghasilkan pelbagai variasi, klon dan baka tanaman baru dengan bantuan teknologi ICT yang terkini.
            Beberapa bantuan kerajaan dari sudut galakan, modal, lokasi berniaga dan sebagainya disediakan sama ada secara langsung oleh kerajaan atau menerusi agensi-agensi berkaitan. Apa yang tinggal hanyalah sejauh mana keberanian usahawan Melayu dan bumiputera untuk terjun ke dunia perniagaan yang berskala besar dan bertaraf antarabangsa. Pelbagai perubahan dijangka akan berlaku dalam arena perniagaan di Malaysia. Perniagaan kecil di Malaysia telah meningkatkan jumlah peluang pekerjaan dan pembangunan usahawan. Di sini, jelas bahawa perniagaan bersaiz kecil dan sederhana amat penting dalam menyumbang terhadap pembangunan negara. Aliran pertumbuhan ekonomi di Malaysia telah menggalakkan pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS), walau bagaimanapun wujud ketidakseimbangan dalam pegangan ekonomi antara kaum di Malaysia. Penduduk bukan Bumiputera telah menguasai sektor ekonomi, dan matlamat Dasar Ekonomi Baru gagal dicapai sepenuhnya. Walau bagaimanapun, hasil usaha kerajaan bersama dengan agensi sokongan kerajaan, pengagihan pendapatan keseluruhan di kalangan isi rumah di Malaysia telah bertambah baik dalam tempoh Rancangan Malaysia ke-11. (Noor Azilawati Mohd Sabda, 2009)
            Pihak kerajaan juga telah melakukan berbagai usaha ke arah memupuk dan mengembangkan asas keusahawanan di kalangan bumiputera bagi melahirkan usahawan yang berdaya maju dan berdaya tahan. Antaranya melalui penglibatan mereka secara langsung dan aktif dalam dunia perniagaan berasakan pertanian. Pelbagai agensi telah disediakan untuk membantu usahawan Bumiputera. Banyak tabung yang bertujuan khusus untuk membangunkan usahawan bumiputera telah ditubuhkan. Antaranya ialah Tabung Usahawan Baru, Tabung Industri Bumiputera, dan Tabung Usahawan Kecil yang semuanya bertujuan membantu usahawan kecil dan sederhana.
            Salah satu kementerian yang berfungsi untuk membangunkan
usahawan Bumiputera dalam sektor pertanian ialah Kementerian Pembangunan Usahawan. Kementerian ini bukan sahaja ingin membangunkan usahawan bumiputera tetapi ingin melahirkan usahawan yang berkualiti, berpotensi serta berupaya membentuk masyarakat Perdagangan dan Perindustrian (MPP) seperti yang dihasratkan dalam Wawasan 2020. (
Nurul ‘Ula Noor’Aaisa, 2011)



7.0       KESIMPULAN

Kesimpulanya, negara seperti Amerika Syarikat, Australia dan beberapa negara maju lain, golongan petani dipandang tinggi kerana mereka tergolong dalam golongan mereka yang kaya raya.  Situasi ini mungkin boleh berlaku di negara kita. Negara kita Malaysia mempunyai tanah yang subur, bebas daripada bencana alam atau keadaan huru-hara yang boleh memusnahkan sebarang kegiatan ekonomi. Jika kelebihan ini tidak dimanfaatkan, bermakna kita telah mensia-siakan anugerah sumber perniagaan yang ada.
            Melalui strategi-strategi yang telah disusun oleh kerajaan demi untuk membantu masyarakat tani di Malaysia, ‘Pertanian adalah perniagaan’ sudah pasti akan dapat dilaksanakan sekiranya kita sama-sama mencari jalan untuk memperhebatkan bidang pertanian dengan cara menjadikannya sebagai salah satu sumber pendapatan kita. Marilah mula berbudi kepada tanah!
            Nahtijahnya, perniagaan berasaskan pertanian ini perlu mengalami revolusi supaya sektor pertanian ini berprestij kepada generasi muda.  Pembangunan sektor dapat mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan,  jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.

7.0       RUJUKAN

 

Bastian Michael. (2014). Pertanian Adalah Perniagaan. [Online].http://ibasstop.            blogspot.my/2014/02/pertanian-adalah-perniagaan.html [2016, Ogos 30]
Mahani Abu Bakar. (2009). Industri Tani Malaysia Pembangunan Pertanian. Kuala         Lumpur : Pustaka Segar.

Muhamad Syafiq Azlan Bin Mustafa. (2013). Kepentingan Sektor Pertanian.[Online].

         http://meisterfiq.blogspot.my/2013/04/kepentingan-sektor-pertanian.html[2016,    Ogos 23]
Nik Yahya Ab. Rahman. (2009). Cabaran Sektor Pertanian. Shah Alam,Selangor : UPENA, UiTM.
Noor Azilawati Mohd Sabda. (2009). Sektor Pertanian Alaf Baru Peranan Agensi Kerajaan. Selangor : Pintar Firus Sdn. Bhd.
Noor Zalika Bt Mahmad Zuki. (2013). Cabaran Dan Halangan Membangunkan             UsahawanBumiputeraBerjaya.[Online].http://azlanyusof.blogspot.my/2013/03/cab           aran-dan-halangan-membangunkan.html [2016, Ogos 26]
Nurul ‘Ula Noor’Aaisa. (2011). Dasar Kerajaan Meransang Ekonomi. Petaling      Jaya,Selangor : Edition Plus Sdn. Bhd.
Syed Mahadzir Syed Ibrahim. (2011). Potensi Dan Cabaran Industri Pertanian Negara.            [Online].http://syedmahadzirsyedibrahim.blogspot.my/2011/02/potensi-dancabara           n-industri-pertanian.html [2016, Ogos 26]